HOT!!!

Sunday, July 3, 2011

Cerpen:Oh Tuhan, Aku Cinta Dia




Apakah semua ini memang takdirnya atau ianya adalah hukuman untuk dirinya? Dia sedar sepanjang hidupnya dia telah melakukan banyak kesalahan. Dia juga terlalu banyak menyakitkan hati-hati orang-orang yang menyayanginya. Tiada guna menyesal sekarang. Semuanya sudah terlambat. Dia mengeluh. Laporan kesihatan yang diterimanya pagi tadi dimasukkan ke dalam laci. Fail yang berada di hadapannya dibelek tetapi dia tidak dapat memberikan perhatian terhadap kerja-kerjanya. Dia mengeluh. Intercom yang berada di hadapannya ditekan. Dia memanggil setiausahanya.

Lima minit kemudian wajah setiausahanya terjengul di muka pintu. Dia memberikan isyarat masuk.

“Ada apa Encik Akimi?” soal Sara.

“Hari ni saya ada apa-apa appointment yang penting ke?” soalnya kembali. Sara membuka buku temujanji bosnya. Dia meneliti jadual lelaki itu.

“Tak ada Encik Akimi.” Ujar Sara. Firasz Akimi mengangguk.

“Saya nak balik. Kalau ada perkara yang penting awak tolong uruskan dan kalau ada orang yang nak jumpa saya awak tolong beritahu saya tak ada.” Dia benar-benar tiada mood untuk terus bekerja. Lebih baik dia dia berehat sahaja di rumah. Sara hanya mengangguk. Dia mengemas barang-barangnya dan meninggalkan pejabatnya.

Kereta Hondanya meluncur laju meninggalkan perkarangan pejabatnya.

“Papa!”

Dia tersenyum melihat farisha yang berlari ke arahnya. Dia bergegas mendapatkan anak perempuannya. Tubuh anaknya didukung. Dia mencium pipi anaknya.

“Betullah papa yang balik, nek.” Ujar Farisha petah. Puan Ros hanya tersenyum.

“Kenapa ma?” soalnya.

“Mama ingatkan tadi tu kereta orang lain. Isha ni pulak cakap papa dia dah balik. Betullah tekaan dia. Kenapa awal hari ni Akimi balik?” Puan Ros cuba mengambil Farisha daripada dukungan papanya tetapi cucunya itu tidak mahu melepaskan papanya. Makin erat dia memeluk leher papanya. Puan Ros hanya menggeleng. farisha memang begini. Terlalu rapat dengan papanya. Kadang-kala keadaan ini menyusahkan Firasz Akimi.

“Tak apalah ma. Biar Isha ni dengan Akimi je. Papa mana?” soalnya apabila tidak kelihatan bayang papanya.

“Dari pagi lagi keluar. Sejak dah bersara ni dia jarang lekat kat rumah. Pergi main golf je keje dia sekarang.” Ujar Puan Ros separuh marah. Dia benar-benar geram dengan perangai suaminya itu. kadang-kadang dirinya ditinggalkan keseorangan di rumah.

“Papa bosanlah tu.” Ujar Firasz Akimi. Puan Ros tidak menjawab.

“Papa, semalam Isha mimpi.” Firasz Akimi memandang anaknya yang berusia 4 tahun itu.

“Sayang mimpi apa?” soalnya penuh kasih sayang.

“Isha mimpi jumpa mama.”

Firasz Akimi tercengang. Dia memandang mamanya. Puan Ros terharu mendengar kata-kata cucunya itu.

“Isha nak jumpa mama.” Tambah kanak-kanak itu. firasz Akimi memeluk anaknya erat.

“Isha tak boleh tinggalkan papa, sayang.” Ujarnya sayu. Dia tidak dapat membayangkan hidupnya nanti tanpa anak kesayangannya ini. puan Ros menyapu tubir matanya yang mula digenangi air.

“Isha ikut nenek ya.” Puan Ros mengambil Farisha daripada anak tunggalnya.

“Papa nak rehat, sayang. Kita pergi main kat luar ye.” Dia cuba memancing cucunya itu. mujurlah cucunya hanya mengikut. Firasz Akimi memandang mama dan anaknya yang menghilang. Dia mengeluh. Dia benar-benar tersentuh dengan kata-kata Firasha tadi. Dia tahu anaknya benar-benar rindukan mamanya tapi dia tidak dapat berbuat apa-apa.

“Maafkan papa, sayang.” Rintihnya. Dia yang bersalah. Dia yang memisahkan anaknya dengan mamanya sendiri. Sofea sudah lama meninggalkan mereka. hampir empat tahun Sofea telah meninggal. dia tidak pernah menganggap Sofea sebagai isterinya. Sofea adalah calon yang diperkenalkan oleh mama dan papanya. Mereka berkahwin kerana keluarga. Oleh sebab itu dia tidak mahu menganggap Sofea sebagai isterinya. Dia masih muda ketika itu. hanya berusia 22 tahun. Mereka dinikahkan kerana hubungan perniagaan. Dia terpaksa.

Selama 2 tahun perkahwinan mereka, dia tidak pernah melayan Sofea dengan baik. Tetapi oleh kerana keterlanjurannya dia tidak sengaja meniduri gadis itu dan Sofea telah hamil. Dia memang tidak dapat menerimanya. Dan dia tidak tahu gadis itu sebenarnya tidak patut hamil. Dia hanya akan membahayakan nyawanya. Sofea sanggup mengorbankan nyawanya hanya kerana untuk menyelamatkan nyawa zuriatnya. Firasz Akimi betul-betul menyesal. Tetapi penyesalannya telah terlambat.

***************************

Dia menjenguk ke ruang tamu apabila kedengaran suara kanak-kanak. Dania Aleya merengus geram. Dia paling tidak suka waktu tidurnya diganggu. Kelihatan seorang kanak-kanak perempuan sedang bermain dengan anak patung. Dia membulatkan matanya. Itu adalah anak patungnya. Dia berlari mendekati kanak-kanak tersebut.

“Kenapa ambil barang orang ni?” soalnya separuh marah. dia memandang wajah kanak-kanak perempuan tersebut. Comelnya budak ni. getus hatinya.

“Eei, mak cik tak mandi lagi ye.”

Dania Aleya terkedu. Sibuk je budak ni. suka hati oranglah. Dia mengikat rambutnya yang kusut.

“Awal lagi ni.” ujarnya. Dia memandang jam di dinding. Baru pukul 12 pagi. Dia tersengih.

“Isha pun dah mandi tau. Kenapa mak cik tak mandi lagi?” soal Farisha petah. Dania Aleya menggigit bibirnya.

“Sape mak cik? Kakaklah. Kakak muda lagi. Baru umur 23 tahun.” Marahnya.

“Alah tualah tu. Isha lagi muda. Baru umur 4 tahun, mak cik.”

Dania Aleya makin sakit hati. Dia merampas patung yang dipegang oleh budak itu. Dia menjelirkan lidahnya. Tetapi Farisha ketawa pula. Entah apa yang kelakar?

“Dah bangun anak mama ni. awalnya Dania bangun.” Dania Aleya mengalihkan pandangannya kepada mamanya yang tiba-tiba muncul entah dari mana. dia tersengih mendengar kata-kata mamanya itu.

“Anak sape ni, mama?” soalnya.

“Anak Akimi.” Mamanya mendukung Farisha. Dania Aleya tersentak mendengar nama yang telah lama cuba dilupakannya.

“Habis tu kenapa budak ni boleh ada kat rumah kita pulak?” soalnya lagi.

“Papa pergi kerja. Nenek pulak keluar dengan atuk.” Budak itu pula yang menjawab. Dania Aleya ketap bibir geram. Mamanya hanya tersenyum.

“Habis kenapa awak tak ikut pulak?”

“Dania.” Tegur Datin Amina.

“Nek Min yang nak jaga Isha.” Jawab Farisha.

“Dania tolong hantar Isha ni.” ujar Datin Amina. Dania Aleya menarik muka.

“Kenapa Dania pulak?” soalnya tidak puas hati.

“Mama ada kerja kat dapur. Nak masak untuk Dania jugak. Tolonglah sayang.” Pujuk mamanya. Dalam keadaan terpaksa dia turutkan juga kehendak mamanya. Budak itu diambilnya. Dia memimpin tangan Farisha.

“Dania belum mandi ni. takpe ke?” soalnya lagi. Berat untuk dia menjengah ke rumah jirannya yang telah lama tidak ditemuinya kerana menghabiskan pengajian di luar negara.

“Tak pe. Bukan ada orang pun. Untie ros je.” Ujar mamanya. Dia merengus geram. Kakinya melangkah memasuki perkarangan rumah jirannya. Dia menjenguk-jenguk ke dalam rumah tersebut.

“Nenek.” Laung budak itu. tapi tiada sahutan.

“Mana nenek awak ni? betulkah dah balik ni? tak de pun.” Dia menyoal
kanak-kanak tersebut.

“Entah. Isha tak tahu.” Jawabnya. Dia menapak memasuki pintu rumah yang terbuka.

“Bibik tak ada?” soalnya lagi.

“Bibik cuti. anak dia sakit.” Banyak cakap pulak budak ni. aku tarik mulut tu kang. Bebelnya dalam hati. Dia melilaukan matanya. Matanya terpandangkan gambar yang tergantung di dinding. Dia mendekati. Gambar itu diperhati penuh minat. Hatinya makin sakit melihat gambar tersebut. hatinya pedih. Dia cuba megusir perasaan yang masih terhuni dalam hatinya.

“Farisha.” Suara tersebut mengejutkannya. Dia berpaling ke arah suara itu. bibirnya seakan-akan kelu. Dia tidak dapat berganjak dari situ.

“Papa.” Laung Farisha. Anaknya berlari memeluknya. Dania Aleya tersedar. Dia cepat-cepat ingin beredar dari situ. Tanpa sepatah kata dia mula mengatur langkah.

“Dania ke ni?” soal Firasz Akimi. Dania Aleya tidak jadi meneruskan langkahnya. Dia mengangguk. Tidak menyangka lelaki ini masih mengingatinya.

“Dah besar rupanya Dania sekarang. Abang ingatkan Dania dah tak nak balik Malaysia?” guraunya. Dania Aleya sengih. Langsung tidak ikhlas.

“Erm, saya balik dululah.” Ujarnya dan terus melangkah laju. Dia tidak berpaling ke belakang lagi. Hanya satu tujuannya. Melenyapkan lelaki itu dari pandangan matanya. Dia betul-betul tidak suka dengan keadaan tersebut. dia tidak mahu menatap wajah lelaki itu lagi tetapi akhirnya itulah yang telah dia hadapi.

Tanpa menghiraukan panggilan mamanya dia terus menuju ke dalam biliknya. Pintu bilik di kunci. dia duduk bersila sambil bersandar ke pintu.

“Ya Allah, mengapa kau temukan aku dengan dia lagi?” rintihnya sendiri. Dia ingatkan dia telah membuang nama Firasz Akimi dari hatinya tapi dia silap. Cintanya terhadap lelaki itu masih utuh. Walaupun hatinya pernah dikecewakan dulu dia masih tidak mampu membuang nama lelaki itu.

Dia mula menyukai jirannya itu ketika dia berumur 15 tahun lagi. Mungkin pada masa itu perasaan itu hanya suka-suka tetapi dia sendiri tidak menyedarinya bila dia mula mencintai Firasz Akimi. Dia selalu memerhatikan lelaki itu dari jauh. Kadang-kadang dia sengaja mencipta alasan untuk bertemu dengan Firasz Akimi. Layanan baik lelaki itu juga semakin menguatkan perasaannya.
Tetapi langit tidak selalu cerah. Hatinya hancur berkecai saat mama lelaki itu bertandang ke rumah dan menyerahkan kad undangan perkahwinan lelaki itu dengan perempuan lain. Walaupun masa itu dia baru berusia 17 tahun tetapi dia sudah cukup matang. Dia bukan lagi kanak-kanak. Memang dia berjaya menyembunyikan kesedihannya tetapi makin lama makin parah hatinya saat melihat lelaki idamannya bergandingan dengan perempuan lain di atas pelamin. Dia hanya mampu menangis di dalam hati.


Dania Aleya mempercepatkan langkah kakinya. Dia tidak mahu berhadapan dengan lelaki ini. mengapalah dia boleh terserempak dengan lelaki ini di tempat yang dia langsung tidak menjangkakannya. Mengapa mesti mamat tu yang bagi taklimat? Kalaulah aku tahu dah tentu aku tidur kat rumah je tak perlu menghadiri seminar untuk pelajar yang baru graduate ni. papalah yang bersalah sebab memaksanya menghadiri seminar ini.

“Dania Aleya.” Firasz Akimi memegang tangan gadis itu. dania Aleya terkesima. Dia merentap tangannya.

“Abang minta-maaf.” Pintanya. Dia sedar dia agak keterlaluan.

“Awak nak apa?” soalnya. Firasz Akimi mengerutkan dahinya.

“Kenapa tukar panggilan?”

“Kenapa pulak?”

Dia memandang lelaki itu tetapi tidak lama. Matanya kembali meliar ke tempat lain.

“Dulu abang ingat lagi Dania suka panggil abang dengan panggilan abang Akimi. Waktu tu abang lebih suka Dania panggil abang, Akimi je.” Ujarnya. Dania Aleya diam. Memang dulu dia suka bermanja dengan lelaki itu. sementelah dia tidak punya adik beradik lain. Begitu juga Firasz Akimi. Mereka anak tunggal. Tetapi entah mengapa lelaki itu tidak suka dia memanggilnya abang. Dan sekarang dia pun tidak suka dengan panggilan itu.

“Saya pun dah tak suka panggil awak macam tu. Akimi lebih baikkan. Lagipun saya dah besar. Bukan budak-budak lagi.” Ujar Dania Aleya. Firasz Akimi tersenyum. Entah apalah yang kelakar.

“Okey. Ikut Danialah. Lepas ni Dania nak pergi mana?” soal lelaki itu. dia tidak tahu ke aku tak suka tengok muka dia? Getusnya dalam hati.

“Balik.” Ujarnya sepatah.

“Kalau macam tu kita balik sekalilah. Akimi pun nak balik ni.” ujar lelaki itu. dania Aleya mengeluh. Kenapalah aku boleh berjiran dengan lelaki ini? dengan perasaan serba salah dia mengikuti lelaki itu menuju ke keretanya. Dalam diam dia memerhatikan lelaki itu. firasz Akimi telah banyak berubah. Dia kelihatan semakin matang. Dia bukan lagi seperti dahulu. Remaja lelaki yang selalu mengejar perempuan. Dia sekarang seorang lelaki yang sudah berkeluarga.

“Dania tak nak masuk rumah Akimi dulu ke?” soal lelaki itu apabila kereta lelaki itu tiba di hadapan rumahnya.

“Tak nak.” Tanpa memandang wajah lelaki itu dia keluar dari keretanya.

“Mak cik.” Laung satu suara. Dania Aleya tersentak. dia kenal suara itu. dia tidak dapat berpura-pura senyum. Farisha menerkam ke arahnya. Tubuhnya dipeluk erat.

“Kakak.” Dia membetulkan kata-kata kanak-kanak tersebut.

“Nakal anak papa ni. panggil kak Dania ye.” Sampuk Firasz Akimi.

“Tak nak. Isha nak panggi mak cik jugak.” Firasz Akimi mendukung anaknya. Dania Aleya langsung tidak memandang wajah farisha. Wajah kanak-kanak tersebut mengingatkannya dengan perempuan yang berganding dengan lelaki ini di atas pelamin dulu.

“Isha nak main dengan mak cik.” Rengek anak itu.

“Saya balik dululah. Thanks.” Ujarnya dan berlalu. Dia tidak menghiraukan farisha yang memanggil-manggil namanya. Hatinya tersentuh dengan suara anak itu tetapi egonya mengatasi segala-galanya.

Sampai di rumah dia tidak dapat menahan air matanya dari gugur. Makin di tahan makin sebak pula hatinya.

“Kenapa ni Dania?” soal mamanya yang keluar dari dapur. Dia menggelengkan kepalanya.

“Habuk masuk mata.” Bohongnya.

“Mama, isteri Akimi tu pegi mana? dania tak nampak pun dia kat rumah tu.” Dia menyoal. Sudah lama dia ingin menanyakan hal tersebut tetapi sering kali terlupa. Dia memang tidak pernah ternampak isteri lelaki itu sejak dia balik dari luar Negara.

“Ya Allah, Dania.”

“Apa ma?” soalnya apabila melihat wajah mamanya berubah.

“Sofea dah lama tak ada. Dia dah meninggal 4 tahun lepas. Dia meninggal selepas melahirkan Farisha. Mama ingatkan Dania dah tahu.”

Dania Aleya diam. Pandangan matanya kabur. Dadanya berdebar kencang. Dia kembali teringat wajah comel Farisha. Panggilan anak itu tadi terhadapnya. Kaletah manja Farisha. Setitis air jernihnya jatuh. Dia berdiri. Tujuannya hanya satu. Memeluk anak itu dengan erat.

“Dania nak ke mana tu?” jerit mamanya apabila gadis itu berlari keluar dari rumah.
Dia mengekori langkah anaknya itu.

Dania Aleya menolak pintu pagar rumah lelaki itu. kakinya terhenti saat melihat Farisha sedang bermain di taman rumahnya. Di sebelahnya di temani Firasz Akimi. Lelaki itu berpaling menghadapnya. Dia terkejut melihat mata gadis itu dilimpahi
air jernih.

Dania Aleya berlari menuju ke arah Farisha dan memeluk kanak-kanak tersebut. firasz Akimi terpinga-pinga dengan reaksi gadis itu.

“Kenapa ni mak cik?” soal Farisha. Dania Aleya menangis teresak-esak.

“Mak cik rindukan Isha.” Ujarnya bersama sendu.

“Kenapa mak cik nangis?” soalnya lagi. Kanak-kanak tersebut menyapu air matanya.

“Mak cik nak nangis je.”

“Mak cik dah besar tak boleh nangis.”

Dania Aleya ketawa mendengar kata-kata Farisha. Dia memandang Firasz Akimi yang tentu sekali hairan dengan reaksinya. Dia menghadiahkan senyuman kepada lelaki itu. senyuman pertama yang ikhlas darinya untuk lelaki yang bernama Firasz Akimi. Lelaki pertama yang bertakhta di hatinya sejak dulu, dan juga sekarang.

***************************

Dania Aleya melayan keletah Farisha yang benar-benar mencuit hatinya. dia mula merasakan yang dia amat menyukai kanak-kanak ini.
Tiba-tiba pintu biliknya dibuka dari luar. Wajah mamanya terjengul di muka pintu.

“Akimi dah datang.” Beritahu datin Amina.

“Nek Min boleh tak beritahu papa, Isha nak tidur sini malam ni. Isha nak main
dengan Mak cik.” Ujar Farisha. Datin Amina mendekati Farisha.

“Isha pergilah beritahu papa dulu.”

Mereka turun ke ruang tamu. Firasz Akimi sedang menunggu di situ. Dia mengukir senyum. Datin Amina menghilang ke dapur.

“Papa boleh tak malam ni Isha nak tidur kat sini?” soal Isha. Firasz Akimi senyum.

“Isha nak tinggalkan papa ke?”

“Isha nak teman Mak Cik. Kesian dia tidur sorang-sorang.” Pintanya lagi.

“Bolehlah Akimi.” Pujuk Dania Aleya pula. Akhirnya dia mengangguk walaupun agak
berat. Nampaknya Farisha mula rapat dengan gadis ini. Mungkin ini adalah kerana Dania Aleya bersikap sedikit keanak-anakkan.


HARI ini telah masuk tiga hari dia mula berkerja di syarikat lelaki itu. Pada mulanya papa menyuruhnya membantu papanya di pejabat mereka tetapi oleh kerana dia mahu membina pengalaman dahulu papanya menyuruhnya bekerja di syarikat jiran mereka. Dania Aleya mengeluh. Dia sebenarnya bosan. Asyik melakukannya kerja yang lengsung tidak mencabar. Dia mengetuk pintu bilik lelaki itu.

“Ada apa Dania?” soal Firasz Akimi apabila wajahnya terjengul di muka pintu. Dia duduk di hadapan lelaki itu.

“Awak sibuk ke?” soalnya. Wajah Firasz Akimi yang kelihatan sedikit pucat itu dipandang. Lelaki itu sakit ke? Soalnya di dalam hati.

“Tak adalah sangat. Kenapa?” soal Firasz Akimi pula.

“Dania tak ada kerja ke? Selalunya Dania tolong susun fail. Lepas tu tolong fotostat.” Ujar Dania Aleya. Firasz Akimi tersenyum.

“Akimi tak suruh pun Dania buat kerja tu semua.”

“Memanglah. Kalau tak buat kerja tu kerja apa yang Dania kena buat?” soalnya. Dia betul-betul bosan. Dia ke mari kerana ingin menimba pengalaman. Bukan untuk berehat.

“Habis tu...”

Firasz Akimi terbatuk-batuk. Wajahnya memerah.

“Akimi tak sihat ke?” soalnya. Lelaki itu hanya menggeleng.

“Tak adalah. Maybe penat je. Dania keluarlah dulu. Nanti Akimi cakap kerja apa yang Dania kena buat.” Arahnya. Dia tidak betah berkeadaan begini terus di hadapan gadis itu. Dania memerhatikan lelaki itu. Dia memang merasa ada yang tidak kena dengan lelaki itu. Selain wajahnya yang selalu kelihatan agak pucat lelaki itu juga kelihatan agak lemah.

“Darah.”

Dia terkesima apabila terlihat darah keluar melalui hidung lelaki itu.

“Hidung awak berdarah, Akimi.” Ujarnya panik. Dia mencapai tisu dan ingin mengesat darah tersebut tetapi di halang oleh lelaki itu.

“It’s okey, Dania. Awak keluarlah dulu.” Ujarnya. Dia mengambil tisu di tangan gadis itu dan mengelap hidungnya.

“Betulkah awak tak apa-apa ni?” soalnya lagi.

“Yes. Saya cuma penat je.” Ujarnya lagi cuba menyakinkan Dania Aleya. Dia perlu berjumpa doctor yang merawatnya. Sejak belakangan ini, dia sedar kesihatannya juga semakin teruk. Kadang-kadang dia akan terasa amat sakit di bahagian kepalanya. Dan sekarang darah mula mengalir melalui hidungnya.

Dania Aleya terpaksa meninggalkan lelaki itu walaupun dia agak keberatan. Entah kenapa dadanya berdebar kencang. Dia betul-betul bimbangkan lelaki ini.

***************************************************************************

Firasz Akimi memerhatikan Dania Aleya yang sedang asyik bermain dengan anaknya di ruang tamu. Dia meninggalkan mereka dan berlalu menuju ke biliknya. Firasz Akimi mencapai buku yang berada di atas mejanya. Buku itu dibelek. Dia tersenyum apabila menatap gambar seorang perempuan yang terdapat di dalam bukunya itu. Gambar tersebut telah lama disimpannya. Ketika gadis itu masih menuntut di sekolah menengah lagi.

Dia mengeluh. Gambar itu masih lagi menghuni buku peribadinya ini. Dia harus menguburkan perasaannya ini. Dia tidak layak mencintai gadis itu mahupun mana-mana gadis lagi. Dania Aleya, gadis itu telah lama berjaya mencuit hatinya. Dia jatuh hati dengan gadis itu sejak dulu lagi tetapi pada masa itu mereka masih sama-sama muda. Fikirnya dia tidak layak untuk bercinta. Apabila papa dan mamanya menyuruhnya mengahwini arwah Sofea dia tidak dapat menerimanya kerana dia hanya mencintai Dania Aleya. Dia tahu jodohnya tiada dengan gadis itu walaupun dia amat mencintainya. Dulu, sekarang mahupun selama-lamanya. Dia sedar akan keadaan dirinya. Oh Tuhan, aku benar-benar mencintainya. Rintih hatinya.

Firasz Akimi teringat kata-kata kawan baiknya yang merangkap doctor peribadinya. Kata Haykal dia harus segera menjalani pembedahan tetapi kata Haykal peluang untuk hidup adalah 50-50. Dia hanya mempunyai masa kurang dari setahun. Dia takut untuk meninggalkan Farisha. Dia tidak mahu anaknya kehilangan seorang bapa. Apa yang harus dilakukannya?

“Akimi.” Panggil mamanya. Dia membuka pintu.

“Ada apa, ma?” soalnya pula.

“Dania dah nak balik. Akimi temankan Dania sampai rumah dia ya. Lagipun dah lewat ni.” Ujar mamanya. Firasz Akimi mengangguk. Dia menyarung sweater dan menuju ke bawah.

“Saya balik dululah, Akimi.” Dania Aleya menyerahkan Farisha kepada lelaki itu.

“Saya temankan awak.” Ujarnya. Dania hanya mengangguk. Firasz Akimi menyerahkan Farisha kepada mamanya. Anaknya itu kelihatan keletihan dan menguap beberapa kali. Mungkin mengantuk barangkali.

Mereka berjalan seiringan. Dania Aleya memeluk tubuhnya yang kedinginan.

“Akimi, awak ingat lagi tak? Dulu kita selalu main kat sini.” Ujarnya apabila melintasi halaman rumah lelaki itu. Firasz Akimi mengangguk. Bibirnya tersenyum.

“Masa tu awak kecil lagi Dania. Selalu nangis.” Tambah Firasz Akimi. Dania Aleya senyum.

“Kita dah lama bersama Akimi. Sejak kecil lagi. Saya macam dah terbiasa dengan kehadiran awak disisi saya.” Dania Aleya meneruskan langkah kakinya. Firasz Akimi mengiakannya. Memang Dania Aleya selalu berada disampingnya. Sehinggakan dia sudah terbiasa dengan kehadiran gadis itu.

Apabila tiba di hadapan rumahnya Dania Aleya berhenti. Dia menghadap lelaki itu. Wajah Firasz Akimi ditenung.

“Dah sampai.” Ujarnya.

“Erm, kita terpaksa berpisah.” Gurau Firasz Akimi. Dia tersenyum.

“Macam dulu. Thanks temankan Dania.” Ujarnya sebelum beredar. Firasz Akimi mengerutkan dahinya. Tidak mengerti dengan kata-kata gadis itu.

“Dania.” Panggilnya. Dania Aleya berhenti. Dia berpaling.

“Macam dulu?” soalnya.

“Dulupun kita terpaksa berpisah bila Akimi kahwin dengan arwah Sofea.” Ujar Dania Aleya dan terus melangkah meninggalkan Firasz Akimi yang masih tidak mengerti dengan kata-kata gadis itu.

“Nanti kita pun akan berpisah lagi, Dania.” Ujarnya perlahan. Dia tersenyum. Senyuman yang dirasakan amat sakit sekali untuk diukir.

DANIA ALEYA ketawa kecil melihat wajah Firasz Akimi yang basah akibat terkena percikan air. Farisha juga mengekek ketawa. Hari ini keluarga Firasz Akimi bercuti di Pulau Langkawi. Oleh kerana anaknya berkeras untuk membawa Dania Aleya sekali dia hanya mampu membenarkan. Lagipun dia juga suka apabila berada di sisi gadis itu. Dia tidak mahu membazirkan waktu-waktu yang masih ada untuknya.

“I’m sorry, Akimi.” Pintanya. Dia tersengih memandang lelaki itu.

“Isha ke Mak Cik Dania yang salah?” soal Firasz Akimi pura-pura serius. Dia memandang wajah Farisha.

“Isha tak buat, pa.” Farisha kelihatan takut-takut.

“Kalau macam tu Isha pergi kat nenek. Dah lewat ni. Cepat pergi masuk sebelum papa marah.” Gertaknya. Farisha terus berlari menuju ke arah neneknya. Dania Aleya ketawa kecil. Pandai lelaki itu menguruskan anaknya seorang diri. Dia kagum dengan lelaki itu. Walaupun tanpa seorang isteri di sisi.

“Dania, thanks.” Ujar Firasz Akimi.

“Kenapa?” soalnya.

“Sebab jadi kawan Isha.” Dia benar-benar bersyukur gadis itu sudi menemani
anaknya. Dia tahu kadang-kadang Farisha bosan.

“It’s okey.”

Bagi Dania Aleya pula dia gembira ditemani oleh anak kecil itu. Hari-hari yang dilaluinya juga terisi dengan kehadiran Farisha.

“Ingat lagi tak impian Dania?” soal lelaki itu tiba-tiba. Dania Aleya memandang ke arahnya.

“Dulu Dania pernah cakap kat Akimi yang Dania teringin sangat nak tengok matahari terbenam dengan lelaki yang Dania cinta.”

Dania Aleya senyum. Memang itu adalah impiannya. Dia membina impian itu setelah yakin hatinya milik lelaki ini. Itu adalah impian yang dibinanya 6 tahun dulu.
“Erm, tapi malangnya Dania takkan mengecapi semua itu.” Ujarnya.

“Kenapa pulak? Akimi ingat lagi Dania ada beritahu Akimi yang Dania sukakan sorang lelaki dulu. Macam-mana?” dia ingat lagi dahulu gadis itu pernah meluahkan isi hatinya itu kepadanya. Sebab itu jugalah dia menyimpan isi hatinya. Dia tidak mahu cintanya ditolak kerana Dania Aleya sudah punya kekasih hati.

“Dania tak pernah beritahu lelaki tu yang Dania cintakannya. Mungkin sebab itu jodoh Dania dengannya tak ada. Dan sekarang dia dah kahwin dengan orang lain. Dia dah punya family.” Terangnya. Firasz Akimi simpati dengan nasib gadis ini.

“Kenapa tak berterus-terang dengan dia? Mungkin perkahwinannya tak bahagia?” macam aku. Tambahnya dalam hati.

“Macam-mana dengan perkahwinan Akimi? Akimi bahagia dengan arwah sofea dulu?” dia menyoal lelaki itu. Firasz Akimi terkesima. Tidak menyangka soalan itu dituju kepadanya kembali. Dia hanya tersenyum.

“Akimi, betulkah orang lelaki tak boleh baca isi hati seseorang walaupun dah banyak kali perempuan tu bagi petunjuk?” soalnya. Firasz Akimi mengangkat bahunya.

“Dania memang menyesal sebab tak pernah beritahu laki tu. Tapi semua tu dah terlambat.”

“Kalau ada jodoh takkan ke mana.” Ujar Firasz Akimi. Dania Aleya diam. Ya Allah, betulkah lelaki yang berada di hadapanku ini tidak pernah menyedari isi hatiku ini? Haruskah aku terus merahsiakan perasaanku ini? Aku tidak sanggup lagi terus begini.

“Jomlah masuk. Dah lewat ni.” Firasz Akimi melangkah. Dania Aleya menarik nafas panjang.

“Akimi.” Panggilnya apabila lelaki itu sedikit jauh darinya. Lelaki itu berpaling.

“Takkan awak tak sedar?” soal Dania Aleya sayu. Firasz Hakimi mengerutkan dahinya.

“Awaklah lelaki tu.” Akhirnya dia meluahkan apa yang tersirat di hatinya. Firasz Akimi terkedu. Dialah lelaki yang dimaksudkan oleh Dania Aleya. Ya Allah dia benar-benar gembira. Mengapa dia tidak pernah menyedari hal itu lama dahulu? Tiba-tiba dia teringat sesuatu. Perasaan bahagianya mengendur.

“Dania..”

“Akimi adalah lelaki yang Dania cinta. Lelaki yang selalu ada di sisi Dania bila Dania perlukannya. Dania tak pernah lupakan Akimi.” Tambahnya lagi.

“Akimi dah ada Isha. Dania, lupakan Akimi. Sekali lagi.” Ujarnya dan terus berlalu tanpa berpaling lagi. Air mata lelakinya jatuh. Begitu juga Dania Aleya. Dia terduduk di situ. Air matanya jatuh bercucuran. Mengapa sekali lagi dia harus merasa sakit kerana lelaki yang sama?

**************************************************************************

Seminggu telah berlalu selepas peristiwa tempoh hari. Dania Aleya hanya memerap di dalam biliknya. Dia tidak ke pejabat dan ke rumah lelaki itu. Dia memisahkan dirinya daripada lelaki itu dan juga Farisha. Memandang anaknya hanya menambahkan rasa sayang terhadap lelaki itu. Ketukan di pintu mengejutkan lamunannya. Dia menyapu air jernih yang mengalir di pipinya. Wajah mamanya terjengul di muka pintu.

“Ada apa, ma?” soalnya.

“Isha nak cakap dengan Dania.” Mamanya menyerahkan telefon kepadanya.

“Jawablah. Dah banyak kali budak tu telefon. Kesian dia.” Dengan berat hati dia menyambut telefon yang dihulur kepadanya.

“Isha.” Panggilnya.

“Mak Cik, kenapa dah tak nak kawan dengan Isha?” sayu sekali suara anak itu. Air matanya menitis tanpa dipinta. Dia menutup mulutnya supaya tidak terdengar oleh Farisha.

“Datanglah sini. Papa tak ada. Isha bosan.” Pintanya.

“Kejap lagi Mak Cik datang.” Ujarnya sebelum mematikan talian. Ya Allah dia benar-benar berasa bersalah kerana menghukum Farisha yang tidak berdosa.

Lima belas minit kemudian dia tiba di rumah lelaki itu. Walaupun pada mulanya dia sudah tidak mahu menjejakkan kaki ke rumah ini tetapi dia tidak boleh menolak permintaan Farisha. Dia tidak sepatutnya mengheret anak kecil itu ke dalam masalah mereka.

“Mak cik.” Laung Farisha. Dia mendakap tubuh gadis itu. Dania Aleya membalas pelukan anak kecil itu.

“Isha rindu mak cik.” bibir kecil itu mula menutur kata. Kata-kata yang membuatkan air matanya menitis.

“Mak cik pun.” Ujarnya. Dia melepaskan pelukannya.

“Isha jumpa ni dalam buku papa.” Farisha menyerahkan buku tersebut kepadanya. Dia mengambilnya dengan tanda tanya.

“Kenapa bagi mak cik?” soalnya pula.

“Perempuan tu muka sama dengan mak cik.” Tambah Farisha. Dia membuka
helaian yang terdapat sekeping gambar di dalamnya. Matanya terbuntang apabila melihat gambarnya yang berpakaian uniform sekolah di dalam buku tersebut. Dan apa yang lebih mengejutkannya apabila membaca nota yang di tulis di belakang gambar itu. Air matanya mengalir laju. Dia membelek buku tersebut.

22 february 2005
Abang Akimi...itu adalah panggilan pertama Dania Aleya terhadapku. Entah kenapa aku rasa begitu gembira. Walaupun memang dari kecil lagi gadis itu memanggilku begitu tetapi perasaan ini lain selepas aku kembali dari England. Dah lama tak dengar Dania memanggilku begitu. Aku pura-pura tidak menyukainya. Walhal aku amat gembira.

1 Mac 2005
Dania Aleya merajuk denganku. Dia kata aku dah tak macam dulu. Katanya aku suka keluar dengan perempuan lain. Dia cemburu ke? Kalau betul aku suka sangat-sangat. Katanya dia tidak mahu melihat aku bertukar-tukar perempuan. Aku sengaja mengujinya. Aku cuma mahu membuatnya cemburu.

20 April 2005
Dania Aleya hanya menganggapku sebagai abang. Hari ini dia beritahu yang dia sukakan seorang lelaki. Sakitnya hatiku ni. Aku rasa mahu menjerit kat dia yang aku tak suka dia cerita pasal lelaki lain pada aku. Kenapa aku tak berterus-terang dengan dia dari awal lagi? Tahun ni dia SPM. Aku cuma tak nak ganggu konsentrasinya.
Dania Aleya menyapu air mata yang masih mengalir di pipinya. Dia terus membelek.

5 Mei 2005
Papa memberitahu aku sesuatu. Dia mahu aku berkahwin dengan anak kawannya. Katanya uncle Borhan sudah banyak membantu perniagaan keluarga kami. Uncle Borhan juga rakan kongsi di syarikat papa. Aku tidak boleh menerima gadis lain dalam hidupku. Aku hanya sayangkan Dania Aleya. Aku hanya akan mengahwininya. Itu janjiku. Hanya Dania Aleya yang akan menjadi suri di hatiku.

10 Julai 2005
Aku tetap berkahwin dengan gadis yang bernama sofea ini. Aku amat membenci sofea sampaikan aku langsung tidak boleh menatap mukanya. Berada sebilik dengannya ibarat berada di dalam neraka. Aku tidak akan mencintainya. Aku tidak akan menerima dia sebagai isteri aku.

1 Disember 2005
Dania Aleya telah pergi. Dia pergi tanpa memberitahu aku. Aku benar-benar terkilan dengan sikapnya. Kata mama dia menetap dengan ibu saudaranya di pantai timur. Aku benar-benar seperti kehilangan separuh nyawaku. Dulu aku masih boleh menatap wajahnya. Sekarang tiada lagi Dania Aleya yang akan menghiburkan hatiku ini. Dan kerana dendam terhadap Sofea aku telah melakukan sesuatu yang membuatkan aku menyesal seumur hidupku.

8 Disember 2007
Tuhan telah mengambil Sofea dariku. Mungkin ini adalah balasan untukku kerana aku tidak pernah menghargainya ketika hidupnya. Maafkan abang sofea. Walaupun Dia telah mengambil Sofea DIA juga mengurniakan aku seorang puteri yang amat comel sekali. Dania Farisha. Itu adalah nama yang dipilih oleh arwah Sofea. Katanya dia tahu aku mencintai Dania Aleya.

Dania Aleya menutup buku tersebut. Dia menyapu air matanya yang makin laju membasahi pipinya. Tubuh Farisha dipeluk erat. Anak kecil itu hanya mendakapnya. Tidak faham dengan reaksinya. Barulah dia tahu rahsia lelaki itu. Firasz Akimi juga mencintainya tetapi mengapa lelaki itu menolak cintanya tempoh hari? Adakah kerana Farisha atau kerana perasaan bersalah terhadap arwah Sofea?

Dia terkejut dengan kehadiran mama lelaki itu yang menerpa ke arah mereka. Air matanya disapu. Tubuh Farisha yang didakapnya dilepaskan.

“Akimi.” Suara itu cemas sekali.

“Kenapa dengan Akimi, untie?” soalnya panic apabila air mata wanita itu mengalir.

“Akimi kat hospital sekarang.” Ujarnya. Dania Aleya terkesima. Rasa mahu gugur jantungnya.

“Dia kemalangan ke?” soalnya kalut. Makin laju pula air mata mama lelaki itu. Dia hairan dan tertanya-tanya dengan reaksi wanita itu. Ya Allah dia tak nak kehilangan lelaki itu. Jangan kau rampasnya dari aku. Mohonnya.

**************************************************************************

Kini dia berada di hadapan bilik rawatan lelaki itu. Kata doctor yang merawatnya Firasz Akimi berada dalam keadaan kritikal. Ini benar-benar membuatkan Dania Aleya seperti ingin pitam. Dia tidak dapat berhadapan dengan lelaki itu. Dia tidak mahu Firasz Akimi melihatnya mengalirkan air mata. Dia benar-benar tidak boleh bersemuka dengan lelaki itu. Air matanya dari tadi tidak berhenti mengalir.

Dia melarikan diri dari tempat itu. Tubuhnya terduduk di situ. Dia tidak kisah orang yang melihatnya. Dia benar-benar berasa seperti sudah kehilangan nyawanya. Oh, tuhan aku amat mencintai dirinya. Rintihnya dalam hati.

Buku lelaki itu masih berada di tangannya. Dia membelek kembali buku tersebut.

4 April 2011
Dania Aleya telah kembali. Dia masih lagi comel seperti dulu dengan baju tidur doraemonnya. Aku rindu sangat-sangat dengannya. Doaku telah dimakbulkan Allah. Aku ingin menatap wajahnya ketika hayatku masih ada.
Dia membelek lagi. Basah lencun buku tersebut dengan air matanya.

10 Jun 2011
Maafkan Akimi kerana melukakan hati Dania lagi. Akimi tak sedar selama ini Dania juga mencinta Akimi. Akimi bahagia mendengar ungkapan Dania itu tetapi Akimi tidak layak untuk Dania. Ingin sahaja aku memeluk tubuhnya saat itu. Ya Allah, mengapa saat bahagia hadir di depanku aku terpaksa melepaskannya pergi? Ingin sekali aku melafazkan kalimah berharga yang telah lama aku simpan untuknya. Aku juga mencintamu Dania. Aku mencintaimu lebih daripada kau mencintaku. Tetapi kau harus melupakan aku. Itu yang terbaik. Lupakan cinta kita untuk selama-lamanya.

Tangisannya makin kuat. Dia memeluk buku itu.

“Dania takkan lupakan Akimi.” Tuturnya perlahan. Tiba-tiba bahunya disentuh seseorang. Dia berpaling. Wajah mamanya dipandang sayu.

“Akimi nak jumpa Dania.” Ujar mamanya. Dia menggeleng. Dia benar-benar belum bersedia untuk menemui lelaki itu. Dia benar-benar lemah.

“Pergilah Dania sebelum terlambat.” Tambah mamanya. Datin Amina memeluk tubuh anak tunggalnya.

Dengan langkah yang berat dia menolak pintu bilik lelaki itu. Firasz Akimi terbaring kaku di situ. Kelihatan Farisha berada dalam dukungan Puan Ros.

“Dania.” Panggil lelaki itu lemah. Dia cuba mengukir senyum tetapi gagal.
Hanya air mata yang mengalir di pipinya. Dia mendekati katil lelaki itu.

“Kenapa tak beritahu Dania?” soalnya dalam sendu. Firasz Akimi hanya tersenyum lemah.

“Dania dah tahu.” Dia menunjukkan buku tersebut kepada lelaki itu. Firasz
Akimi nyata terkejut.

“Maafkan Akimi.” Tuturnya lambat-lambat. Dania Aleya menggeleng. Dia menundukkan mukanya apabila kelihatan lelaki itu cuba berkata sesuatu.

“Boleh Akimi tunaikan impian Dania tu?” kata-kata itu makin memedihkan hatinya. Setitis air matanya jatuh di pipi Firasz Akimi. Dia menyapu air jernih yang mengalir di pipi gadis itu. Dia tidak mahu gadis itu menderita sebegini.

***************************************************************************

Dania Aleya hanya membiarkan Firasz Akimi melentokkan kepalanya ke bahunya. Kejap lagi matahari akan mula menghilangkan dirinya. Dania Aleya menangis dalam diam.

“Maafkan Akimi sebab terlambat.” Pintanya.

“Ini adalah takdir kita.” Ujar Dania Aleya.

“Akimi tak sangka Akimi akan jadi lelaki yang tunaikan impian Dania.”

Memang ini impian Dania tapi bukan ini yang Dania harap. Dania lebih rela kita tiada jodoh daripada kehilangan lelaki yang dicintai buat selama-lamanya.

“Dania, hiduplah dengan gembira demi Akimi.”

Dania Aleya sudah teresak-esak. Dia menyapu air matanya. Walaupun impiannya ditunaikan dalam kawasan hospital dia tetap bersyukur. Dia bersyukur di beri kesempatan bersama lelaki ini disaat-saat akhirnya.

“Nanti kejutkan Akimi bila matahari dah hampir tenggelam. Akimi penat. Nak tidur kejap.” Ujarnya. Dia hanya mengangguk. Ya Allah kau panjangkanlah umurnya. Aku benar-benar tidak boleh hidup tanpanya. Hatinya telah mengenal cinta dengan nama Firasz Akimi sejak dulu lagi. Sejak dia masih bersekolah. Hari-hari yang dilaluinya dibina bersama impian dengan lelaki itu. Dania Aleya mengukir senyum apabila matahari kelihatan berwarna kekuningan dan hampir tenggelam.

“Akimi, bangun. Cepatlah.” Dia menunjuk ke arah tersebut.

“Cantikkan.” Tambahnya. Tetapi tiada sahutan. Dadanya berdebar kencang. Perlahan-lahan kepalanya berpaling ke sebelah. Mata lelaki itu tertutup rapat. Air matanya laju membasahi pipi. Matanya kembali terarah ke hadapan.

Ya Allah kau hentikanlah waktu ini. Aku mohon padamu agar waktu-waktu ini akan kekal untuk kami berdua. Firasz Akimi, cinta Dania Aleya hanya milikmu. Dulu, sekarang dan juga untuk selama-lamanya. Dania Aleya hanya membiarkan lelaki itu senyap di sebelahnya. Dia tidak mahu menganggu memori terindah mereka ini. Dia tidak mahu sesiapa merampas lelaki ini daripadanya. Firasz Akimi hanya milik Dania Aleya.

Ya Allah, kau cucurilah rahmat ke atasnya. Doanya dalam sendu.


TQ BG SAPE2 YANG BACE CERPEN NI
SILA BG KOMEN SAMA ADA ANDA BERPUAS HATI ATAUPUN TAK DENGAN CERPEN SAYA INI..
SAYANG KAMOOO SEMUA.....

7 comments:

  1. sedih..leleh air mata...tkleh cite sedih2 ni...anyway gud job dik

    ReplyDelete
  2. salam........ huhuhuhu....... alah.... bila lak air mata ni turun??????? sedeynye....... good job...... tersentuh jiwa........

    ReplyDelete
  3. huhuhu...... sedihnya...cinta yg tak kesampaian....

    ReplyDelete
  4. sedihnya....kalu sayang seseorng...lafazkanlah...sebelum terlambat.

    ReplyDelete

hai kekawan sume...
ape tunggu agi??
jom komen cite ni(suke/tak)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

oh my god...nufa makin tua but alhamdulillah umo makin pjg.TQ Allah

Daisypath Happy Birthday tickers