Namun semua itu peristiwa tiga minggu lepas.
Sekarang dia berdiri di hadapan lelaki ini. memandang lelaki yang dicintainya
sepenuh hati sedang bersanding dengan orang lain. Hampir sahaja dia pitam namun
dia gagahi juga. Mampukan engkau tersenyum Dania? Soal suara hatinya. Dia
menggelengkan kepalanya. Aku tidak mampu. Namun dia terus melangkah. Semakin
hampir dengan lelaki itu.
‘Dania Aleya,
saya Firasz Akimi berjanji tidak akan melayan mana-mana perempuan seistimewa
perempuan comel dan montel yang berada di hadapan saya ini.’
Kata-kata lelaki itu kembali bergema di telinganya.
Kakinya berhenti melangkah. Dia merenung Firasz Akimi yang sedang bahagia
bergambar di sisi isterinya.
Inikah janji Akimi dulu? Akimi janji takkan sesekali
menyakiti Dania. Tapi sekarang Akimi bukan sahaja menyakiti Dania malah Akimi
sedang membunuh hati dan perasaan Dania.
Air matanya mengalir. Pantas disekanya. Dia tidak
mahu sesiapa melihatnya. Lelaki yang dicintainya sudah menjadi milik orang
lain. Ya Allah, berat sekali dugaanMu ini. inikah yang harus aku alami untuk
cinta pertamaku?
“Dania, jomlah bergambar sekali.”
Dia tersentak. Semua mata memandang ke arahnya.
Termasuklah Firasz Akimi. Mata lelaki itu seperti ingin memberitahunya sesuatu.
Dia menggeleng.
“Jomlah.” Aunty Ros menarik tangannya. Dia terpaksa
melangkah dan berdiri di sebelah lelaki itu. Firasz Akimi memandangnya. Tajam.
Berbahagiakah kau?
“Okey, semua pandang sini. Senyum.”
Dan dia tetap tidak tersenyum ketika gambar tersebut
diambil. Apabila semua orang kalut menukar posisi dia cepat-cepat turun dari
pelamin dan berlari ke luar daripada dewan. Air matanya jatuh bercucuran.
Kakinya terasa amat lemah sekali. Air matanya makin laju menuruni pipinya.
“Akimi, mengapa begini akhirnya hubungan kita?”
soalnya sendiri. Dia teringat kata-kata terakhir lelaki itu. untuk apa semua
itu, Akimi? Akhirnya dia terduduk. Dia memeluk lututnya. Tangannya mencengkam
kuat kedua-dua belah lututnya. Aku perlukan dia, Ya Allah. Akukah yang
terlambat? Salah akukah kerana tidak memberitahunya tentang perasaanku ini?
Dia tergamam apabila ada tangan yang menyentuh
bahunya.
“Dania.”
Wajah Atikah yang turut bersimpati ditenungnya.
“Ati, aku rasa macam dah mati je.” Tangisnya. Atikah
memeluk tubuhnya. Dia membalas erat pelukan gadis itu.
“Sabarlah, Dania. Mungkin jodoh kau bukan
dengannya.” Pujuk Atikah. Dia turut mengalirkan air mata melihat tangisan
sahabatnya. Mungkin amat dalam cinta Dania Aleya untuk Firasz Akimi.
“Aku tak nak orang lain, Ati.”
Makin kuat pula tangisan gadis itu. tersedu-sedu dia
di bahu Atikah.
“Ya Allah, Dania jangan macam ni. Tak baik. Mengucap
Dania. Ingat tuhan.”
Tiada sesiapa yang dapat memahami hati ini. Aku
mengenali dia ketika kami masih kecil. Ketika aku tidak tahu apa-apa dan ketika
itulah Akimi datang menunjukkan dunia ini kepadaku. Memberi sinar bahagia
kepadaku. Melengkapi hidupku yang sunyi dengan kehadirannya menemani aku siang
dan malam. Aku kenali semua itu bersama lelaki ini. Aku menangis dan ketawa
bersamanya. Dia yang ada di sisi aku apabila aku memerlukan seseorang. Hanya
Firasz Akimi di sampingku. Mampukah aku bertahan?
Hanya Dania Aleya gadis yang Akimi mahu.
Kata-kata itu datang lagi. Kejamnya kau, Akimi.
Mengapa menabur kata-kata manis jika hanya untuk menyakiti aku akhirnya. Aku
tidak kuat. Aku bukan seorang yang tabah. Aku hanya Dania Aleya. Gadis yang
bernafas hanya untukmu, Firasz Akimi.
*********************************************
Dania Aleya memasukkan patung beruang pemberian
lelaki itu ke dalam plastik besar. Dia menanggalkan rantai dan cincin yang
dipakainya. Cincin tersebut disangkutkan bersama rantai itu. Dia meletakkannya
ke dalam kotak kecil dan di masukkan ke dalam platik tadi.
Tangannya mengheret plastik yang berwarna hitam itu.
“Dania nak ke mana dengan barang-barang tu?” soalan
mamanya tidak dijawab. Sebaliknya kakinya terus melangkah ke luar rumah. Hujan
yang renyai-renyai tidak dihiraukan. Dia terus berjalan. Panggilan mamanya
sudah tidak didengarinya. Kakinya terus melangkah. Dan akhirnya kakinya
berhenti melangkah. Matanya memerhati taman tersebut. Ini tempat kita, Akimi.
Bisik hatinya perlahan. Dia duduk di atas buaian. Semuanya kembali berputar.
Dan air matanya jatuh lagi. Hujan makin lebat turun. Dia tidak menghiraukannya.
Dia berharap hujan yang membasahinya akan membuatkan ingatannya hilang. Dia
berharap agar nama Firasz Akimi akan lesap dari sanubarinya.
“Dania tak boleh.” Katanya dalam sendu.
Tangannya erat memeluk plastik tersebut. Hujan makin
lebat. Tidak terasa air hujan menimpa mukanya. Bibirnya terketar-ketar namun
dia tidak berasa sejuk. Hati dan perasaannya telah mati.
Dia membuka kembali plastik tersebut dan mencapai
kotak kecil tadi. Perlahan-lahan dia membukanya. Rantai putih dan cincin yang
tergantung diperhati. Lama.
Alangkah indahnya jika D dan A itu untuk Dania dan
Akimi. Namun semua itu hanya imaginasinya. Dia kembali memakai rantai tersebut.
Biarlah dia menyimpan kenangan antara mereka ini. Izinkan Dania mencintai
Akimi. Walaupun dalam diam. Hanya Dania dan Allah yang tahu semua ini.
“Jangan cepat
merajuk nanti cepat tua. Tak ada orang yang nak kat Dania nanti.”
“Tak kisah pun.
Mama dan papa ada.”
“Akimi pun ada.
Akimi nak.”
Ha ha ha. Mereka berdua ketawa. Namun ada getaran di
hatinya saat Firasz Akimi menuturkan kata-kata itu.
Dania Aleya berdiri. Kakinya melangkah meninggalkan
tempat tersebut. Niatnya untuk membuang barang-barang pemberian lelaki itu
tidak kesampaian. Dia tidak sanggup untuk melakukannya. Tangannya memeluk
plastik hitam tersebut. Dia melangkah dalam hujan dengan bajunya yang basah.
Matanya yang mengalirkan air mata sama lebat dengan hujan yang turun.
Dia mendongak apabila ada kereta melintasinya. Mata
mereka berlaga. Kakinya berhenti melangkah. Kereta itu juga berhenti di
hadapannya. Dia sudah hampir dengan rumahnya. Mengapa Kau temukan aku
dengannya, ya Allah.
“Kenapa ni? Kan hujan ni nanti Dania demam.”
Suara itu kedengaran prihatin sekali. Dia tersenyum.
Senyuman mengejek sebenarnya.
“Jom, ikut Akimi.” Lelaki itu menarik tangannya. Dia
melihat di dalam kereta Firasz Akimi. Perempuan itu. spontan dia merentap
tangan lelaki itu. Firasz Akimi terkesima dengan reaksinya. Tanpa menghiraukan
lelaki itu dia terus melangkah.
“Dania.”
Panggil lelaki itu. sekali lagi tangannya di paut.
“Dania ada masalah ke? Jangan buat Akimi risau.”
Usahlah kau terus membuai hatiku, Akimi. Air matanya
mengalir. mengalir dan makin lebat mengalir.
“Leave me, Akimi.” Usai berkata begitu dia terus
melarikan diri ke dalam rumahnya. Dia berlari sehingga ke biliknya. Dia terus
menguncikan dirinya di dalam bilik. Ketukan pintunya daripada mamanya langsung
tidak dihiraukan.
“Jangan buat Dania macam ni.” Rintihnya.
“Kenapa ni, Dania?” soal mamanya apabila pintu
dibuka. Datin Amina mendekatinya. Tangan anaknya digenggam. Bimbang dengan
kelakuan anak gadisnya itu. dia mengesat wajah anaknya yang dibasahi air.
“Dania nak pergi dari sini. Dania tak nak duduk
sini, mama.”
Dia memeluk tubuh mamanya. Dia tahu sudah pasti
mamanya tertanya-tanya dan pelik dengan reaksinya itu. namun dia sudah tidak
menghiraukan semua itu. Dia mahu lenyap dari tempat ini. Jika boleh dia mahu
lenyap dari bumi dan dunia ini. Dia tidak betah lagi berlama-lama di sini. Dia
ingin melenyapkan wajah Firasz Akimi daripada pandangan matanya. Dia benci akan
wajah itu. Dia benci dengan perempuan itu. Dia bencikan Firasz Akimi dan Sofea.
Seandainya ku katakan yang sesungguhnya
tentang perasaanku padamu selama ini
Seandainya ku bisa memutarkan kembali
waktu yang telah pergi dariku saat kau ada
di sini denganku
Sebenarnya hatiku selalu mencintaimu
Hanya sajaku tak pernah mengatakan kepadamu
Dalamnya cintaku menggenggam tulus
hatimu
Namun kini kau katakan cinta sudah terlambat
Seharusnya ku tak biarkan kau menanti
Kata cinta dari ku yang tersimpan
terlalu lama
Dan seharusnya ku fahami isi hatimu
yang tulus menyayangi diriku sebelum
cinta menjadi miliknya
Sebenarnya hatiku selalu mencintaimu
hanya saja ku tak pernah mengatakan
kepadamu
Dalamnya cintaku menggenggam tulus
hatimu
namun kini kau katakan cinta sudah
terlambat