HOT!!!

Saturday, August 13, 2011

Cinta Tak Bersyarat 26


Dia cuba meloloskan diri daripada majlis yang sesak itu. langkah kakinya laju mencari lelaki itu. kepalanya menoleh ke kiri dan kanan. Matanya melilau. Ke mana lelaki itu menghilang? Tadi dia yakin lelaki itu melangkah keluar dari dewan ini. dia tercungap-cungap. Langkahnya terhenti. Kakinya lemah.

“Awak mana…” rintihnya. Dan apabila lelaki itu melintas di hadapannya nafasnya seperti berhenti. Dan apabila lelaki itu berpaling ke arahnya dia makin kalut.

“Awak Qyrinakan. Wife Riezq.” kenapa pura-pura tak mengenali saya? dadanya sebak.

“Nia.” tuturnya perlahan. Helmi mengerutkan keningnya. Dia terkesima apabila mata gadis itu digenangi air. Hatinya tertanya-tanya dengan reaksi Qyrina yang kelihatan sedikit pelik.

“Saya masuk dulu ya.” Ujar Helmi. Qyrina masih kaku di situ.

“Saya Nia. nama yang awak selalu sebut dulu, Haris.” Ujarnya lagi. Ya Allah apa yang sedang berlaku ini? mengapa Haris seperti orang lain? Mengapa dia seperti tidak mengenaliku? Permainan apakah yang awak lakukan ini, Haris?

********************************************************************

Qyrina masih berada di dalam bilik air. Dia tidak boleh keluar dan bersemuka dengan lelaki itu dengan keaadaannya yang tidak tentu arah begini. Mukanya yang basah dek air mata diraup. Dia membasahkan mukanya dengan air beberapa kali. Dia melangkah keluar dari bilik air setelah yakin dia takkan menangis di hadapan lelaki itu.

Riezq kelihatan resah. Dari tadi dia menanti Qyrina di luar bilik air. Qyrina cuba tersenyum.

“Awak tak apa-apa ke?” soal Riezq cemas. Qyrina menggeleng.

“Kenapa pulak? Saya okey je.” Dia cuba berlagak selamba. Jubah yang dipakainya tadi disangkut di dalam almari.

“Awak nampak macam ada sesuatu je ni. betul awak tak apa-apa, Qyrina?” soal Riezq lagi. Qyrina mengangguk. Kali ini dia cuba tersenyum seikhlas mungkin. Dia cuba meyakinkan Riezq.

“Riezq, macam-mana Aliya boleh kahwin dengan Har…Helmi?” soalnya.

“Entahlah. Masa dia kahwin saya tak de kat sini. kenapa?” soal Riezq kembali. Pelik apabila Qyrina tiba-tiba menyoal tentang perkara tersebut.

“Dah berapa lama mereka kahwin?”

“Hampir dua tahun rasanya.” Ujarnya. Haris juga menghilang dua tahun yang lalu. Siapa Helmi yang sebenarnya? Betulkah dia Haris? Kusutnya kepalanya saat ini.

“Awak nampak pucat Qyrina.” dia mendekati isterinya. Qyrina sedikit menjauh.

“Saya penat je. Saya nak tidur dulu.” Dia melangkah ke arah katil. Dia membaringkan tubuhnya. Selimut di tarik sehingga ke paras dada. Badannya mengiring membelakangi Riezq. air matanya tumpah lagi. Dia rindukan Haris. Matanya dipejam rapat. Berharap agar otaknya boleh berhenti berfikir. Dia benar-benar penat dengan semua ini. bukan ini yang diingininya. Dia berharap agar segalanya hanya mimpi. Haris bukan Helmi. Dan yang lebih penting dia bukan suami Aliya.



HELMI membetulkan bantalnya. Dia menutup buku bahasa inggeris yang dibacanya tadi apabila kelibat isterinya muncul. Aliya menutup pintu bilik mereka. dia merebahkan badannya di sebelah suaminya.

“Abang dah nak tidur ke?” soal Aliya. Helmi mengangguk.

“Cantikkan Qyrina tu bang.” Ujar Aliya. Helmi hanya tersenyum. Gadis itu memang punya daya tarikan. Sepupu isterinya memang bertuah kerana mengahwininya. Dia juga dapat rasa Qyrina seorang gadis yang baik.

“Wajah Qyrina tu macam familiar je.” Helmi cuba mengingati wajah gadis itu. memang dia seperti pernah lihat wajah gadis itu tetapi dia tidak ingat di mana dan bila. Dan mata gadis itu seperti menceritakan sesuatu.

“Abang pernah jumpa ke?” soal Aliya hairan. Rasanya ini adalah kali pertama Helmi berkenalan dengan Qyrina.

“Entahlah tapi muka dia macam abang pernah tengok.” Tambahnya.

“Dalam mimpi kot.” Gurau Aliya. Dia ketawa kecil. Ah, buat apa memeningkan kepalanya memikirkan benda yang tidak penting. Dia menutup lampu dan menarik selimut.

*********************************************************************

Pagi-pagi lagi Qyrina telah menghilangkan diri. Dia harus berjumpa seseorang. Dia mesti bercakap dengan Elisa. Walaupun sahabatnya tidak mengenali Haris tetapi sedikit sebanyak gadis itu mengetahui kisahnya dengan lelaki itu.

“Kau okey ke, Rina?” soal Elisa. Dia meletakkan minuman di hadapan sahabatnya. Qyrina menangguk.

“Mak Ayah kau mana?” soalnya.

“Keluar beli barang sikit. Ada apa hal ni kau datang rumah aku pagi-pagi macam ni?” Elisa memandang wajah Qyrina yang kelihatan sedikit pucat. Qyrina diam.

“Kau sakit ke? Muka kau pucat ni.” Elisa meraba dahi sahabatnya. Panas.

“Kau demam ni, Rina.”

“Tak. Aku sihat je. Aku okey.” Qyrina tidak peduli dengan keadaan dirinya.

“Ni pasal Haris.” Ujarnya. Elisa mengeluh. Lagi-lagi nama lelaki itu yang keluar dari bibir Qyrina.

“Dahlah Rina. Jangan dera diri kau sendiri kerana lelaki tu.” Elisa makin fed up melihat keadaan Qyrina yang tidak terurus ini. semuanya kerana Haris. Siapa lelaki tu sampai sahabatnya boleh jadi selemah ini.

“Haris dah muncul, Lis.”

Elisa menggelengkan kepalanya. Qyrina harus disedarkan. Haris dah menghilangkan dirinya.

“Rina, dengar sini.” dia memegang tangan sahabatnya. Qyrina menatap wajah elisa.

“Haris dah tak de. Dia dah pergi dari hidup kau. please wake up.” Tekan Elisa. Qyrina menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Dia betul-betul dah kembali, Lis. Aku tak tipu. Semalam aku jumpa dia. Kau mesti percayakan aku.” Ujarnya serius. Elisa tergamam. Betulkah apa yang diberitahu oleh Qyrina ini atau gadis itu hanya berkhayal.

“Takkanlah…”

“Betul.” Tekannya lagi.

“Kau jumpa kat mana? dia cakap apa kat kau?” soal Elisa ingin tahu.

“Kat majlis semalam. Aku tak tahu apa rancangan dia. Dia buat-buat tak kenal aku. Dia suami Aliya. Sepupu Riezq.” sambungnya. Elisa ternganga.

“Jadi betullah dia dah kahwin. Kau pasti ke dia Haris?” soal elisa inginkan kepastian. Qyrina terdiam. Dia pasti tetapi mengapa lelaki itu tidak mengenalinya dan perwatakannya juga kelihatan berbeza. Hariskah? Atau betul lelaki itu Helmi?

“Dia cakap nama dia Helmi.” Ujar Qyrina perlahan.

“Mungkin orang lain.” Kata Elisa. Mungkin Qyrina tersilap orang atau mungkin pelanduk dua serupa. Ah, mana ada dua orang yang berwajah seiras. Melainkan mereka kembar.

“Mungkin Haris ada kembar?” teka Elisa.

“Dia anak tunggal. Kalau dia orang lain kenapa wajah mereka sama, Lis. Aku tak percaya kalau mereka punyai wajah yang sama.”

Elisa kehilangan kata-kata. Apa yang sebenarnya berlaku. Betulkah Haris yang dilihatnya semalam atau Qyrina hanya berkhayal?

“Kita ke rumah Aliya.” Ajaknya.

“Kita ke klinik dulu. Badan kau panas ni. muka kau pun pucat.” Elisa bimbang melihat keadaan Qyrina itu.

“Aku tak apa-apa Elisa.” Tegasnya. Dia geram bila kata-katanya seolah-olah tidak diambil berat oleh Elisa. Dia masih waras lagi.

“Kau nak buat apa kat rumah Aliya? Nak serang dia sebab rampas tunang kau? qyrina, kita tak pasti lagi hal ni.” pujuk Elisa lembut. Qyrina duduk kembali.

“Sekurang-kurangnya kau boleh pastikan hal ni. kau akan percaya cakap aku kalau kau sendiri tengok lelaki tu. Please, Elisa.” Rayunya. Dia benar-benar memerlukan seseorang kali ini. denyutan yang makin kuat di kepalanya tidak dihiraukan. Elisa menangguk dalam serba-salah. Apa-apapun Qyrina tetap sahabatnya.

“Biar aku yang drive. Kau nampak penat.” Elisa mengambil kunci di tangan Qyrina. dia tidak mahu apa-apa yang berlaku nanti.

Qyrina hanya memerhatikan Elisa yang memandu tenang. Dia mengeluh. Kepalanya yang berdenyut di pegang.

“Kau okey?” Tanya Elisa. Dia memandang sahabatnya. Kemudian dia kembali memandang ke hadapan.

“Erm.” Dia betul-betul penat. Hari ini apabila dia bangun tadi badannya sedikit panas dan kepalanya juga terasa berdenyut-denyut. Dia juga sudah memaklumkan kepada riezq yang dia akan bercuti hari ini. lelaki itu tidak pula banyak soal.

“Rina, macam-mana kalau lelaki tu memang Haris?” soalan Elisa itu mematikan lamunannya. Dia berpaling kepada Elisa yang leka memandu.

“Walau apa pun dia suami Aliya. Kau kena bersedia menerima apa pun kenyataannya.” Sambungnya. Dia mengalihkan pandangannya ke bahu jalan. Kalau lelaki itu Haris, adakah dia dapat menerimanya? Apakah dia sudah bersedia menerima kenyataannya? Dia cuma inginkan penjelasan daripada lelaki itu. dia tidak akan merampas suami Aliya. Itu fikirnya.

Dan sekarang mereka sudah betul-betul berada di hadapan rumah Aliya. Tubuhnya mula berasa seram sejuk. Peluh dingin juga mula mengalir di wajahnya.

“Kau dah bersedia?” soal Elisa. Qyrina mengangguk. Mereka keluar daripada keretanya. Elisa memegang tangan sahabatnya. Cuba menyalurkan sedikit kekuatan. Qyrina tersenyum kepadanya. Loceng rumah Aliya ditekan. Beberapa minit kemudian muncul kelibat pembantu rumahnya, Mak Jah. Wanita tua itu tersenyum kepadanya.

“Puan Rina rupanya. Nak jumpa Puan Aliya ke?” soal wanita itu. dia mengangguk. Pintu pagar di buka. Qyrina dan Elisa melangkah masuk. Dia membuntuti langkah Mak Jah.

“Puan Rina duduklah dulu. Nanti Mak jah panggilkan Puan Aliya.” Dia mengangguk. Dia duduk di sofa. Begitu juga dengan Elisa. Elisa memerhatikan sekeliling. Dia cuba mencari gambar yang mungkin terdapat wajah lelaki yang dikatakan oleh Qyrina. tetapi tiada.

“Gambar dia takde pun.” Ujar Elisa. Dia mengangguk. Memang dia tidak pernah perasan akan gambar lelaki itu di sini. beberapa minit kemudian Aliya keluar dari dapur. Dia tersenyum kepada Qyrina.

“Tak cakap pun nak datang.” Ujar Aliya. Dia duduk di hadapan Qyrina dan Elisa.

“Tak rancang pun. Rina cuti so datanglah sini. Bosan. Erm, ni kawan Rina. Elisa.” Dia memperkenalkan sahabatnya kepada Aliya. Mereka bersalaman.

“Kawan masa sekolah ke?” soal Aliya.

“Masa study kat luar negara dulu.” Ujar Elisa.

“Aliya sedang masak ke?” soalnya.

“Dah siap pun. Kalau datang awal sikit boleh kita masak sekali. Bolehlah Rina belajar masak untuk Riezq.” gurau Aliya. Dia hanya tersenyum hambar.

“Haris mana?” soalnya. Aliya mengerutkan keningnya.

“Suami Aliya. Dia tak de kat rumah ke?” Elisa mencelah apabila dia menyedari keterlanjuran Qyrina.

“Dia kerja. Kejap lagi baliklah. Dia selalu makan tengah hari kat rumah. Rasanya dia dah sampai tu.” Aliya bangun apabila terdengar bunyi kereta memasuki halaman rumah. Dada Qyrina berdegup kencang. Jantungnya berlari pantas. Dia memandang Elisa. Elisa memegang tangan sahabatnya.

“Kau kena kuat.” Ujar Elisa apabila Aliya beredar ke muka pintu untuk menyambut suaminya. Dia juga berdebar. Betulkah lelaki itu Haris?

“Ada tetamu rupanya.” Suara itu.

“Qyrina dengan kawan dia, bang.” Ujar Aliya. Qyrina terkedu. Ya allah kuatkanlah semangatnya. Elisa berdiri. Begitu juga dengan Qyrina. mereka berpaling ke arah Aliya dan suaminya. Mata Elisa membuntang apabila melihat lelaki yang sedang beriringan menghampiri mereka. dia memang Haris. Lelaki ini mirip Haris. Getus hatinya. dia berpaling kepada Qyrina. tangan sahabatnya digenggam erat. Dia berasa simpati dengan nasib sahabatnya ini.

Qyrina memandang wajah lelaki itu. jika dia bukan Haris mengapa wajah mereka sama? Helmi mendekati mereka. kepalanya makin terasa sakit. Badannya juga berpeluh-peluh. Dia berasa keadaan sekeliling berputar laju. Akhirnya dia tidak dapat bertahan lagi dan dia rebah di sisi Elisa. Elisa terperanjat melihat tubuh qyrina rebah di sebelahnya. Dia panic.

“Rina.” Aliya mendapatkan Qyrina. dia terkejut melihat gadis itu pengsan.

“Kenapa ni?” soal Helmi.

“Kepala dia panas, bang. Dia demam ni.” ujar Aliya apabila menyentuh kepala Qyrina.

“Macam-mana ni?” soal Elisa.

“Kita bawa dia ke klinik.” Ujar Helmi. Elisa dan Aliya menjauhkan diri.Helmi mencempung tubuh Qyrina. mereka berdua mengekori dengan perasaan yang berdebar-debar. Dalam diam Elisa memerhatikan Helmi. Lelaki inilah yang ditemuinya tempoh hari. Dalam hati dia mendoakan keselamatan Qyrina. berharap agar Qyrina akan mampu bertahan. Menerima kenyataan bahawa Haris yang dicintainya telah menjadi milik orang lain.

3 comments:

  1. mengada betullah rina ni..dah dah lah tu..sian kt riezq klu die tau nti..ape perasaan riezq nti..

    ReplyDelete
  2. hadei la rina ni kan. kan dah ada riezq, terima je la jodoh tu. jgn la nak kco rumah tangga org plk. kesian aliya tu nti. hhmm...maybe nak cari sebab ye? ok cpt sikit selesaikan misteri haris ni ye. hehehe

    ReplyDelete
  3. klau dh tau yg sebenarnya.... dan klau benar pn Helmi tu adalah Haris... Takkan Qyina maupan Haris ingin kembali mnyambung hubungan mereka yg terputus dgn merobohkan 2 masjid yg dh dibina.... Cinta x semestinya bersatu.. ciantnya yg terkandas di tengah jln bukan pengakhir segala2nya... Ingat kebesaran Allah... setiap yg berlaku tu ada sbb dan hikmahnya yg tersendiri... mungkin Riezq adalah jodoh terbaik utk Qyrina... Aliya adalh jodoh terbaik utk Haris/Helmi.....

    ReplyDelete

hai kekawan sume...
ape tunggu agi??
jom komen cite ni(suke/tak)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

oh my god...nufa makin tua but alhamdulillah umo makin pjg.TQ Allah

Daisypath Happy Birthday tickers